Quantcast
Channel: Seri Bahasa
Viewing all 97 articles
Browse latest View live

Mengajak Pasangan Rujuk Kembali

$
0
0
Pagi-pagi memasak pulut,
Untuk bekalan pergi bekerja;
Tak sungguh seluang ke laut,
Akhirnya balik ke pantai juga.

Patah hati terus merajuk,
Rajuknya sampai hutan belukar;
Hati yang panas kembali sejuk,
Bagai burung pulang ke sangkar.

Lumut lunting laut berambang,
Tempat bersarang burung belatuk;
Asal sirih pulang ke gagang,
Asal pinang pulang ke tampuk.

Siang terkenang-kenang,
Malam termimpi-mimpi,
Makan tidak kenyang,
Tidur tidak lena,
Terkilan-kilan di hati,
Terbayang-bayang di mata,
Terasa-rasa bak duri dalam daging,
Selagi tidak dibuang, selagi itu tidak selesa.

Buang yang keruh, ambil yang jernih,
Buang yang bengkok, ambil yang lurus.
Buang yang mentah, ambil yang masak,
Buang yang pahit, ambil yang manis.

Buang yang masam, ambil yang manis,
Buang yang busuk, ambil yang wangi.
Buang yang pecah, ambil yang elok,
Buang yang retak, ambil yang baik.

Buang yang kotor, ambil yang bersih,
Buang yang tawar, ambil yang lemak.
Buang yang panas, ambil yang dingin,
Buang yang sengketa, ambil yang damai.

Buang musuh, ambil sahabat,
Buang seteru, ambil saudara.

Pantun Pujuk Rayu

$
0
0
Arak-arak kelapa puan,
Tidak puan kelapa bali;
Harap-harap kepada tuan,
Tidak tuan siapa lagi.

Dari mana punai melayang,
Dari sawah turun ke kali;
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hati.

Air yang dalam bertambah dalam,
Hujan dahulu belumlah teduh;
Hati yang dendam bertambah dendam,
Dendam dahulu belumlah sembuh.

Kalau ada kuda di Aceh,
Buah pauh di pohon putat;
Kalau sungguh adinda kasih,
Rumah yang jauh ku rasa dekat.

Anak kijang di dalam hutan,
Mati dimakan serigala;
Bila terpandang wajahmu puan,
Hancur hati bagai nak gila.

Harimau putih di satu simpang,
Mati dipanah Raja Roka;
Putih kuning kekasih abang,
Hati yang mana tidak suka.

Pak Malau pergi ke Daik,
Tanam terombong di bawah batang;
Bila teringat budi yang baik;
Tidak diseru abang datang.

Anak batak menebang lontar,
Hendak mengarang salasilah dulu;
Pagar teratak tumbang sebentar,
Hendak mengintai kekasih lalu.

Selikur hari rejang hantu,
Hantu berguling duduk bersila;
Tuang emas sepuluh mutu,
Makin kupandang makin gila.

Anjing Belanda di dalam kubu,
Hendak menghambat rusa sekawan;
Mari adinda kita bertemu,
Hendak bergurau denganmu tuan.

Dari Rembang ke Bayuwangi,
Pakai baju sutera kerawang;
Tuan kembang asalnya wangi,
Sampai layu tidak kubuang.

Ular naga cintamani,
Mari ditoreh tujuh culanya;
Tuan laksana serbat dani,
Tujuh tahun rasa manisnya.

Trengganu berkota papan,
Tempat diam tuan puteri;
Adinda umpama kain kapan,
Hancur tidak berganti lagi.

Mabuk Kepayang

$
0
0
Nyiur gading puncak mahligai,
Masak ketupat berisi inti,
Buah delima di dalam cawan;
Hancur daging tulang berkecai,
Belum dapat belum berhenti,
Hendak bersama denganmu puan.

Limau purut lebat di tangkai,
Selasih kembang dengan uratnya;
Hujan ribut dapat ditangkal,
Hati yang kasih apa ubatnya.

Tikus melata di sawah padi,
Makan padi makan tembikai;
Tulus ikhlas di dalam hati,
Rasa nak mati bertindih bangkai.

Burung terbang menari rotan,
Lalu hinggap di kayu jati;
Tujuh gunung tujuh lautan,
Belum dapat belum berhenti.

Anjing berloncat digaruk kucing,
Sayang selasih tepi telaga;
Tujuh lapis pintu terkancing,
Sebab kasih kubuka juga.

Sungai kelat pangkalan bali,
Ubur-ubur di hujung tanjung;
Siang terlihat malam bermimpi,
Badan yang mana sanggup menanggung.

Pelesit coraknya kelabu,
Nampak apa kelam-kelam;
Sakit sengsara kerana rindu,
Bagai nak mati sehari semalam.

Kelapa muda jatuh di lumpur,
Pohon serentang di pinggir kali;
Terlupa tuan semasa tidur,
Bila terjaga ingat kembali.

Rindu Dendam

$
0
0
Hendak gugur, gugurlah nangka,
Jangan ditimpa si batang pauh;
Hendak tidur, tidurlah mata,
Jangan dikenang orang yang jauh.

Tanjung katong airnya biru,
Tempat mandi nak dara jelita;
Sama sekampung lagikan dirindu,
Inikan pula jauh di mata.

Buah pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Biar jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan.

Api-api di laut tanjung,
Kapal Yamtuan dari Singgora;
Rindu dendam lama kutanggung,
Sehingga badan jadi sengsara.

Gunung tinggi terendak Cina,
Nampak dari pulau seribu;
Tuan pergi janganlah lama,
Tidak kuasa menanggung rindu.

Buah kuini buah nona,
Buah inti dalam perahu;
Saya di sini tuan di sana,
Hati di dalam siapa tahu.

Satu paya dua perigi,
Seekor bujuk menganak ruan;
Tuan di sana saya di sini,
Bagai pungguk rindukan bulan.

Kain hitam ada namanya,
Merah merang lautan kidul;
Kalau rindu sebut namanya,
Jangan menangis di tempat tidur.

Tinggi lampai pohon beringin,
Beringin ada di depan kota;
Hendak berpesan pada angin,
Angin tidak pandai berkata.

Cara Menghalang File VRT.TEMP

$
0
0
Serangan Virus...Jangan cerita pasal ini sebab semua pemilik komputer pasti akan cuba menghindarinya. Tapi sampai bila kita dapat menghalang serangan virus, sedetik saja kita leka sudah pasti komputer kesayangan kita akan diratahnya.

Jenis virus ini sudah lama wujud, tapi serangannya semakin menjadi-jadi sejak seawal Januari 2012. Sehingga kini belum ada anti-virus atau anti-malware yang mampu menghalang virus VRT.temp secara total.

Satu-satunya anti-malware yang mampu menghalang virus ini dari melakukan exsekusi ialah Anti-Malwarebytes. Selain itu kita boleh menon-aktifkan virus ini dari task manager. Walau macamana pun ia cuma bersifat sementara kerana virus ini akan muncul semula setiap kali kita melakukan reboot atau membuka komputer kita.

Tanda-tanda utama serangan virus ini ialah tenaga kerja processor akan bertambah selain akan memberatkan komputer.

Virus ini akan mewujudkan beberapa jenis VRT.TEMP seperti; VRT1.tmp, VRT2.tmp, VRT3.tmp di lokasi C:\WINDOWS\Temp. Setakat ini seri sudah cuba semua cara-cara membuang/menghalang secara manual yang ada di internet tapi tidak berkesan.

Ini adalah cara seri sendiri yang telah seri praktikan dan sehingga kini dapat menghalang virus VRT.TEMP dari memasuki C:\WINDOWS\Temp sekaligus menghalang virus ini dari muncul setiap kali reboot atau membuka komputer.

Kaedahnya cukup senang, cuma ubah kedudukan C:\WINDOWS\Temp kepada C:\WINDOWS\Temp.old. Tapi sebelum itu pastikan hapus (delete) semua file VRT yang ada di dalam Folder Temp tersebut. Periksa juga di C:\Documents and Settings\Local Settings\Temp, hapus (delete) jika ada file VRT di situ.

Tapi...seperti yang telah seri katakan, ini bukanlah kaedah yang terbaik. Ada kelemahan kerana setiap kali kita menginstal software yang memerlukan TEMP FOLDER di C:\WINDOWS seperti ACDSee, maka C:\WINDOWS\Temp akan muncul semula, jadi kita terpaksa mendelete TEMP FOLDER tersebut.

Kepada mereka-mereka yang ada kaedah yang lebih baik serta dapat menghapuskan virus VRT ini secara total mari kita kongsi bersama-sama untuk membantu para pemilik komputer yang terjangkit virus VRT ini.

Berkongsi Nasib

$
0
0
Beli melur bunga selengar,
Tanya dahulu berapa harganya;
Ibarat telur penuh sesangkar,
Pecah satu pecah semuanya.

Orang Cina menjual daging,
Daging dijual berpikul-pikul;
Kalau ringan sama dijinjing,
Kalau berat sama dipikul.

Laut pasang air melimpah,
Rumah di pantai tiangnya basah;
Hati gajah sama dilapah,
Hati kuman sama dicecah.

Seberkas selilitan,
Seikat setalian.
Secembul sepergaulan,
Setakar seulian.

Sebaju sepakaian,
Senasib sepenanggungan,
Semangkuk sepiring makan,
Sebeban sepikulan,
Selapik seketiduran.

Makan sepinggan,
Minum secawan.
Duduk setiakr,
Tidur setilam.

Berdiri sama tinggi,
Duduk sama rendah.
Mengiring sama condong,
Baring sama panjang.

Hati gajah sama dilapah,
Hati nyamuk sama dicecah.
Kalau sedikit, secubit seorang,
Kalau banyak, sesenduk seorang.

Jangan sampai bak dikata...
Berakit berdua, karam seorang,
Modal sama dikongsi,
Rugi sama ditanggung,
Untung lain-lain.

Psycho v5 WB Jadi Pilihan Seri Bahasa

$
0
0
Bosan dengan karenah internet yang tak menentu sejak 5 hari yang lalu, seri mengambil peluang mencari tema untuk windows. Tertarik dengan grafik apatah lagi dengan warna yang menarik, seri mengambil keputusan untuk memasang tema Psycho v5 WindowBlinds.

Tengok gambar kat bawah, cantik kan. Jadi sesiapa yang berminat hendak pasang boleh download kat internet, free... lagi pun tema ini jenis suite SK Originals.

Psycho v5 SK Originals

Pengalaman pasang WindowBlinds memang seri tak ada. Dulu biasa dengan Winstep, lepas itu tema jenis XP Styles (msstyles) sebab senang pasang.

Hendak pasang tema WindowBlinds terpaksa install 7 software sokongan (WindowBlinds, ObjectDockPlus, CursorFX, Sysmetrix, Rainlendar, IconLover dan IconPackage Installer), itupun ambil masa sehari cari yang jenis cracked.

Yang buat lambat seri pasang sebab tak tahu cara hendak pasang tabdock dan zoomer serta cara hendak gunakan ObjectDockPlus. Tapi setelah 3 hari berusaha akhirnya berjaya juga.

Minat tak...Kalau hendak pasang atau buat koleksi,ini download linknya langsung dari SkinBase

Hati Kasih

$
0
0
Kalau padi katakan padi,
Tidak saya tertampi-tampi;
Kalau jadi katakan jadi,
Tidak saya ternanti-nanti.

Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang;
Dua tiga dapat kucari,
Mana nak sama puan seorang.

Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan;
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa saya serahkan.

Dari Daik ke Bangkahulu,
Nampak dari Pulau Tiga;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.

Sayang laksamana mati dibunuh,
Mati ditikam datuk menteri;
Tuan umpama minyak yang penuh,
Sedikit tidak tertumpah lagi.

Dulang Palembang dari Jawa,
Penuh sesak berisi kain;
Terbang melayang rasanya jiwa,
Niatku tidak pada yang lain.

Gelama ikan di karang,
Kail mari anak Serani;
Makin lama makin sayang,
Bagai air pasang perbani.

Ada permata di dalam tangan,
Dibungkus dengan kain baldu;
Bila bercinta menyesal jangan,
Adat muda menanggung rindu.

Bunga tanjung kembang tak jadi,
Jatuh berserak di rumpun buluh;
Hamcur hati kerana budi,
Di dalam air badan berpeluh.

Asap api embun berderai,
Patah galah dalam perahu;
Niat hati tak mahu bercerai,
Kuasa Allah siapa tahu.

Banyak lintah di seberang,
Simpan padi dalam raga;
Berapa cinta dengan sayang,
Bila mati ditinggal juga.

25 Pesanan Untuk Anak

$
0
0
01 - Hai Anakku; Ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam kedalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yangg bernama TAKWA, isinya ialah IMAN dan layarnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

02 - Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar serta menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.

03 - Hai Anakku; Orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

04 - Hai Anakku; Seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang
dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 - Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut (Takwa),
tentulah engkau akan terlepas darr sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

07 - Hai Anakku; Seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal-hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08 - Hai Anakku; Engkau telah merasakan betapa beratnya mengankat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (Jiran) yang jahat.

09 - Hai anakku; Janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

11 - Hai Anakku; Bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13 - Hai Anakku; Janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan
janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum
tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 - Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang-orang yang takwa dan musyawarahlah
urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 - Hai Anakku; Bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu
tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang
mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih
mahu menambahkannya

16 - Hai Anakku; Bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih
berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila
tidak demikian, maka berhati-hatilah.

17 - Selalulah baik tuturkata dan halus budibahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18 - Hai Anakku; Bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20 - Hai Anakku; Janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 - Hai Anakku; Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 - Hai Anakku; Janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang
menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.

23 - Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24 - Hai Anakku; Bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya. Hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25 - Hai Anakku; Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Membalas Pujian Dengan Pujian

$
0
0
Anjung landai kemudi landai,
Landai mari terheret duri;
Tuan pandai kami pun pandai,
Jangan terlalu merendah diri.

Kapal belayar menimbang arus,
Patah kemudi menyusur pantai;
Tuan laksana sutera halus,
Sama padan maka dipakai.

Kalau kami bintang, tuan bulannya,
Kalau kami keris, tuan sarungnya.
Kalau kami bubu, tuan ikannya,
Kalau kami jerat, tuan pelanduknya.

Kalau kami jarum, tuan benangnya,
Kalau kami pisau, tuan dagingnya.
Kalau kami ilmu, tuan gurunya,
Kalau kami rehal, tuan kitabnya.

Kalau kami kaki, tuan kasutnya,
Kalau kami senduk, tuan kuahnya.
Kalau kami cincin, tuan jarinya,
Kalau kami sambal, tuan ulamnya.

Kalau kami harum, tuan kasturinya,
Kalau kami dukun, tuan ubatnya.
Kalau kami pawang, tuan jampinya,
Kalau kami dulang, tuan isinya.

Kalau kami tampuk, tuan buahnya,
Kalau kami tangkai, tuan bunganya.
Kalau kami hulu, tuan kerisnya,
Kalau kami awan, tuan hujannya.

Kalau kami bumi, tuan langitnya,
Kalau kami angin, tuan ributnya.
Kalau kami riak, tuan gelombangnya,
Kalau kami alun, tuan badainya.

Kalau kami perahu, tuan dayungnya,
Kalau kami doa, tuan makbulnya.
Kalau kami ayat, tuan bukunya,
Kalau kami bara, tuan apinya.

Kalau kami cahaya, tuan sinarnya,
Kalau kami kambing, tuan gembalanya.
Kalau kami kerbau, tuan talinya,
Kalau kami askar, tuan panglimanya.

Kalau kami seruling, tuan lagunya,
Kalau kami pantun, tuan syairnya.
Kalau kami lagu, tuan iramanya,
Kalau kami suara, tuan biduannya.

Kalau kami penggesek, tuan biolanya,
Kalau kami pembayang, tuan maksudnya.
Kalau kami pena, tuan dakwatnya,
Kalau kami racun, tuan penawarnya.

Tinggi manalah kedudukan kami,
Tinggi lagi kelebihan tuan...

Biar Tidak Cantik

$
0
0
Awan bergerak datang menerpa,
Nampak bintang beribu keti;
Biar tidak cantik sifat dan rupa;
Asalkan pandai mengambil hati.

Anak beruk di tepi pantai,
Masuk ke bendang memakan padi;
Biarlah buruk kain dipakai,
Asalkan pandai mengambil hati.

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak dengan sujinya;
Apa guna wajah yang cantik,
Kalau tidak dengan budinya.

Anak teruna menanam betik,
Bah cempedak dalam raga;
Apalah guna berwajah cantik,
Kalau kurang budi bahasa.

Bukan saya mengejar kolek,
Saya mengejar papan tunda;
Bukan saya mengharap molek,
Saya mengharap budi bahasa.

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.

Tarik dayung Berderap-derap,
Hendak melawan sampan kotak;
Tuan laksana bunga dedap,
Sungguh merah berbau tidak.

Kehebatan Pakaian Pengantin

$
0
0
Seluarnya panjut berkaki labuh,
Beratus cermin di kaki,
Beribu larat di pinggang,
Pesak kecil berpesak kecil,
Pesak besar berpesak besar,
Pesak gadang tulang-temulang.

Penurung patah dewangga,
Kiriman makan Kari Sutan;
Burung berbantah di udara,
Melihat kilat kemilau intan.

Intan teruah masuk ke kaca,
Rendam di dalam buli-buli;
Makan berkuah air mata,
Peluh diambil setimba mandi.

Bajunya baldu ainulbayat,
Yang ditenun sedondon Cina,
Benang diganti orang berinsang,
Bila dikembangkan selebar alam,
Bila dilipat sebesar kuku,
Cabik sedikit dijerumat,
Harganya lima keti juga.

Anak cindai anak serasah,
Ketiga anak rakan Keling;
Bila diampai bertambah basah,
Bila direndam bertambah kering.

Sampingnya kain Bugis Kembayat,
Bukan Kembayat zaman ini,
Kembayat zaman dahulu.

Tengkoloknya kampuh pelangi,
Bukan pelangi zaman sekarang,
Pelangi zaman dahulu,
Tiap sudut ada hikmahnya,
Tiap lipatan ada azimatnya,
Tidak boleh dipandang tepat,
Dipandang dari iringan,
Sejalan begitu gila juga.

Lidah Tidak Bertulang

$
0
0
Angkut-angkut terbang ke langit,
Mati disambar anak merbah;
Biar bertangkup bumi dan langit,
Kasih sayang takkan berubah.

Buah jering di atas para,
Diambil budak sambil berlari;
Bila kering laut Melaka,
Barulah saya mungkir janji.

Cenderawasih burung di awan,
Hendak makan padi bertangkai;
Alangkah kasih dewa bangsawan,
Hendak mati bertindih bangkai.

Di atas kota pokok jati,
Sayang jati tiada berbunga;
Tuan seorang mahkota hati,
Hidup mati kita bersama.

Gajah langgar kuda beraksa,
Mayang di mana dihempaskan;
Sama lebur sama binasa,
Tuan takkan saya lepaskan.

Anak kijang main pandan,
Bawa masuk ke dalam kota;
Biarlah hilang nyawa di badan,
Asalkan sampai maksud kanda.

Anjing menyalak di tepi kota,
Hendak dihadang rusa sekawan;
Kalau sampai niat kita,
Kubayar nazar puasa sebulan.

Peri yang baik kahwinnya kekal,
Jika beranak terlalu picik;
Walau sampai leher dipenggal,
Terimalah sumpah abang yang asyik.

Memuji-Muji Kejelitaan Pengantin

$
0
0
Lehernya bagai buyung petani,
Pipinya bagai pauh dilayang,
Hidungnya mancung bagai seludang,
Matanya bagai bintang pagi.

Jarinya bagai anak serai,
Betisnya bagai bunting padi,
Tumitnya bagai telur dikupas,
Keningnya bagai semut berbaris.

Dadanya bidang,
Pinggangnya Ramping,
Rambutnya ikal mayang,
Bibirnya delima merekah.

Telinganya bagai telipuk layu,
Dahinya bagai sehari bulan,
Lengan seperti baur panah,
Ibu kaki bungkal setahil,
Pinggang secekak jari manis.

Di betis tajam belat,
Di pinggang perak berlapis,
Di dada bintang menabur,
Di rusuk siku keluang,
Di belakang lentik padi,
Di lengan semut beriring,
Di tengkuk puyuh berlaga,
Di dagu kumbang berteduh,
Di dahi panau meninjau.

Sebiji panau yang elok,
Tumbuh di lesung, lesung pipit,
Imbar-imbaran dibawa tertawa,
Nama panau celak Nabi Adam.

Memuji-Muji Gadis Yang Dipinang

$
0
0
Baik rupa parasnya,
Baik budi pekertinya.

Baik sopan santunnya,
Baik hati budinya.

Baik keturunannya,
Baik asuhannya.

Baik andamannya,
Baik agamanya.

Baik pendapatnya,
Baik fikirannya,
Baik lagi muafakatnya.

Elok budi baik pekerti,
Elok laku baik perangai,
Elok tingkah baik bicara,
Elok duduk baik tegaknya.

Imannya kukuh hatinya teguh,
Mukanya bersih jiwanya pengasih,
Dadanya lapang, hatinya penyayang.

Bijak menghitung buih di laut,
Bijak membilang pasir di pantai,
Bijak mengira pokok di rimba.

Tahu rimba banyak onaknya,
Tahu laut banyak ombaknya.

Cakapnya beradab,
Katanya bermakna,
Bualnya berpangkal.

Asam kandis mari dihiris,
Manis sekali rasa isinya;
Dilihat manis dipandang manis,
Manis lagi hati budinya.

Merendah Diri Kepada Pihak Lelaki

$
0
0
Yang jurang bersama jurang,
Yang bukit bersama bukit;
Yang enggang sama enggang,
Yang pipit sama pipit.

Kapal perang angkat terangkit,
Singgah berlabuh Kuala Burma;
Tuan enggang kami pipit,
Bila boleh terbang sama.

Kalau kami tedung,
tuanlah bisanya.
Kalau kami harimau,
tuanlah taringnya.
Kalau kami daun,
tuanlah hijaunya.
Kalau kami bunga,
tuanlah kelopaknya.

Kalau kami gajah,
tuanlah gadingnya.
Kalau kami enggang,
tuanlah paruhnya.
Kalau kami harimau,
tuanlah belangnya.
Kalau kami merak,
tuanlah ekornya.

Kalau kami rusa,
tuanlah tanduknya.
Kalau kami kasturi,
tuanlah harumnya.
Kalau kami pahlawan,
tuanlah kerisnya.
Kalau kami puteri,
tuanlah serinya.

Kalau kami berlian,
tuanlah silaunya.
Kalau kami guruh,
tuanlah kilatnya.
Kalau kami serban,
tuan menambah lilitnya.
Kalau kami alim,
tuan menambah ilmunya.

Setinggi mana kedudukan kami,
Mulialah kedudukan tuan.

Selamat Menunaikan Ibadah Puasa

$
0
0
Puasa sudah tiba, selamat tinggal kepada yang tidak berkenan.
Makanlah puas-puas, nanti kempunan pulak.
Tidur awal-awal, tertinggal sahur kelaparan pulak siang nanti. Alasan pulak hendak berbuka sebab sembelit.
Kalau hendak beraya di lokap cuba-cubalah makan di khalayak ramai.
Ingat pada yang susah, berbuka biarlah bersederhana.
And last sekali Admin. Seri Bahasa mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan...Selamat Berpuasa kepada semua teman-teman serta pengunjung Blog Seri Bahasa.

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2012

$
0
0
Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2012 yang tidak lama lagi akan menjelang, seri mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terimakasih kepada semua pengunjung yang sudi bertandang ke blog Seri Bahasa serta kepada mereka-mereka yang sentiasa memberi semangat kepada seri untuk terus wujud di alam blogosphere.

Kepada mereka yang pulang berhari raya mengunakan kenderaan sendiri, pandulah dengan cermat. Ingat kepada mereka yang tersayang. Pandu cermat jiwa selamat. Elakkan tangisan di Hari Mulia.


 
Syawal akhirnya menjelma,
Setelah sebulan Ramadhan;
Kepada rakan-rakan semua,
Selamat Hari Raya saya ucapkan.
 
Dingin di perigi waktu pagi,
Berkokok ayam ditengah laman;
Aidil fitri menjelma lagi,
Tamatlah ujian bagi yang beriman.
 
Disisir diandam dengan cekap,
Potong rambut pelbagai gaya;
Puasa sebulan sudahlah lengkap,
Kita menyambut Hari Raya.
 
Lemah lembut tuan puteri,
Berhias pandai cantik dipandang;
Meriah menyambut Aidilfitri,
Sahabat handai datang bertandang.
 
Demi semangat setiakawan,
Datang disambut tangan dihulurkan;
Adat insan dalam pergaulan,
Salah dan silap harap maafkan. 


Dengan Ingatan Tulus Ikhlas, Maaf Zahir Dan Bathin
Seri Bahasa

Hadiah Hari Raya Dari SURF7 Network

$
0
0
Raya 2012 memang yang terbaik. Segala apa yang seri idamkan tercapai semuanya pada raya pertama. Pasal buka email seri mungkin orang yang paling malas, dalam seminggu dapat buka sekali kira bernasib baiklah.

Raya pertama seri cuba buka ratus-ratus isinya. Tapi yang menarik perhatian seri ialah email dari SURF7 Network, ada tiga semuanya dan dihantar pada hari raya pertama.


Ini adalah kali ketiga berturut-turut SURF7 Network menjadi sponsor (Domain-For-Blogger) Blog Seri Bahasa. Jutaan terimakasih SURF7 Network kerana masih memberi kepercayaan kepada Blog Seri Bahasa untuk menjadikan  Blog Seri Bahasa sebagai Business-In-Partner.

Kepada mana-mana blogger yang berminat untuk berlangganan dengan SURF7 Network boleh terus menghubungi mereka di alamat  SURF7 Network

Tak lupa kepada Rimau Sakti, pada raya pertama juga beliau meyenaraikan  Blog Seri Bahasa didalam senarai Geng Blogger Tegar (GBT) blog beliau. Terimakasih Rimau Sakti kerana tidak menghampakan permintaan seri.

Dan yang last sekali, 2 tahun seri cari lagu mp3 raya yang dinyanyikan oleh D.J. Dave dalam Album Hari Raya keluaran tahun 1998. Seri tak pernah dengar lagunya tapi dari tajuk lagu macam sedap bunyinya...memang best pun.

Dalam bentuk mp3 memang gerenti tak ada di internet. Seri hanya mampu dapat dalam bentuk playlist.m3u. Kesian sungguh, yang dicari mp3nya tapi yang dapat playlist.m3u. Kata orang tak dapat gading, tanduk pun jadilah.

Kata orang kalau sudah rezeki memang takkan kemana perginya. Akhirnya dapat juga seri mp3nya, download melalui url playlist.m3u menggunakan software HiDownload Platinum 7.9.

Lagunya, Mekar Kasih Di Kuntum Melati nyanyian D.J. Dave. Yang bestnya full Album Hari Raya (1998) dapat seri download.






Seksyen 114A Vs Malaysian Democracy

$
0
0
Mungkin ramai sudah tahu bila Seksyen 114A yang diluluskan secara tergesa-gesa mendapat tentangan hebat dari pihak awam terutamanya para pelayar internet.


Apa itu Seksyen 114A? Seksyen 114A adalah satu pindaan kepada Akta Keterangan 1950 yang membolehkan penguatkuasa undang-undang untuk menjadikan anda bertanggungjawab kerana menyiarkan bahan yang menghasut, memfitnah atau libel secara online, asalkan bahan yang didakwa fitnah itu boleh dijejak kembali ke kata laluan, alat elektronik, atau rangkaian WiFi milik anda.

Seksyen 114A mengandaikan anda bersalah kerana menyiarkan bahan terbabit di internet, kecuali jika anda boleh membuktikan sebaliknya. Pendek kata, anda bersalah sehingga dibuktikan tidak bersalah.

Untuk lebih lanjut sila layari laman Neutrona.

Kalau diamati secara teliti memang  Seksyen 114A tidak akan membawa sebarang masalah kepada pengguna internet asalkan mereka tidak menyiarkan artikel atau gambar yang mengandungi unsur-unsur negatif.

Tapi kenapa pihak awam terutamanya para pengguna internet membantah perlaksanaan Seksyen 114a???

1. Seksyen 114A diluluskan secara tergesa-gesa tanpa meminta pandangan daripada mereka yang arif.

2. Seksyen 114A diluluskan oleh kerajaan BN tanpa kehadiran pihak pembangkang.

3. Seksyen 114A akan mengekang kebebasan akbar di internet.

4. Seksyen 114A secara tidak langsung boleh digunakan sebagai senjata untuk melindungi kelemahan salahlaku kerajaan dalam hal-hal penyelewengan dan salahguna kuasa terutama terhadap pemberi maklumat.

5. Dan yang lebih penting Seksyen 114A akan membuat para pemilik blog, akaun twitter dan facebook tidak senang duduk kerana sudah pasti suatu hari nanti mereka akan terkena tempias dari perlaksanaan Seksyen 114A.

Ini kisah tentang seseorang yang terpaksa berhadapan dengan undang-undang bila  pihak berkuasa telah menjumpai mayat seseorang yang telah dibunuh didalam rumahnya. Tanpa alibi yang kukuh dengan rumahnya tiada kesan pencerobohan dari luar dia tidak dapat  mempertahankan kebenaran dan akhirnya terpaksa menjalani hukuman gantung sampai mati.

Iktibar dari cerita di atas, kita sekarang di zaman siber bukan zaman 60an atau 70an. Pencuri boleh keluar masuk mencuri, membuka pintu yang dikunci tanpa disedari oleh pemilik rumah. Kalau tidak, tidak mungkin banyak motorsikal atau kereta kena curi sedangkan kunci dipegang oleh pemiliknya.

Jadi bagaimana kalau pengodam berjaya menggunakan akaun para pelayar internet dan melakukan perkara-perkara yang tidak diingini? Apakah mereka-mereka akan dilindungi oleh undang-undang yang telah terlaksana? Atau mereka akan menjadi sebahagian dari cerita di atas, kalau begitu sungguh kesian dan perlaksanaan Seksyen 114a sudah tentunya harus mendapat tentangan dari seluruh rakyat Malaysia.

Setelah demontrasi maya 'Internet Blackout Day' atau Kempen Menentang Seksyen 114A Akta Keterangan 2012 pada 14 Ogos 2012 yang diasaskan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia, PM telah mengarahkan kabinet supaya mengkaji semula seksyen tersebut dimana akta 1950 yang telah dipinda pada Jun 2012 baru-baru ini kerana dilihat seolah-olah menafikan hak rakyat untuk bersuara sejajar dengan corak pemerintahan negara iaitu demokrasi.

Seri tidak kisah apapun akta yang gomen luluskan kalau ia ada kepentingan serta boleh mengekang gegala maklumat palsu tersebar di internet. Tapi soal hackers ini harus di beri perhatian utama kerana ia boleh mengakibatkan pihak ketiga yang tidak tahu apa-apa terlibat dalam skandal mereka.
Viewing all 97 articles
Browse latest View live